Wednesday, July 29, 2009

Kehidupan peribadi
Dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, Allahyaraham Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau keturunan bangsawan Bugis yang telah lama merupakan ketua-ketua suku kaum Pahang.
Abang ipar Abdul Razak, Tun Hussein Onn, ialah warisnya sebagai Perdana Menteri ketiga. Anak sulungnya, Dato' Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak, menjadi Perdana Menteri Malaysia ke enam menggantikan Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada tahun 2009. Anak-anaknya yang lain ialah Datuk Ahmad Johari Razak, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir.
Pendidikan
Sejak di sekolah rendah lagi, Abdul Razak telah menunjukkan kepintaran dan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan sukan. Beliau kemudian dipilih untuk menyambung pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.
Selepas pendidikannya tamat di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Abdul Razak bertugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada tahun 1939, beliau ditawarkan biasiswa untuk menuntut di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Bagaimanapun, pendidikannya terpaksa ditamatkan sewaktu pencetusan Perang Dunia II.
Selepas peperangan, Abdul Razak pergi ke Britain pada tahun 1947 untuk belajar jurusan undang-undang. Sewaktu menuntut di England, beliau bertemu dengan Tunku Abdul Rahman yang sedang membuat percubaan yang ketiga untuk memperoleh ijazah undang-undangnya. Abdul Razak menjadi ahli Parti Buruh British dan sebagai ahli Persatuan Pelajar Melayu Britain, dipilih sebagai setiausaha di bawah Tunku yang dipilih sebagai presiden persatuan itu. Bersamping itu, Abdul Razak juga menubuhkan "Forum Malaya", sebuah wadah untuk perbincangan persoalan-persoalan politik negara untuk penuntut-penuntut Malaya. Pada tahun 1950, Abdul Razak menerima ijazahnya daripada Lincoln's Inn di London.

No comments:

Post a Comment